Bot seludup PATI karam, seorang maut

Antara PATI yang berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki karam di perairan negara pada Isnin. - Foto Maritim Malaysia
Antara PATI yang berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki karam di perairan negara pada Isnin. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KLANG - Seorang maut, manakala 35 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) selamat selepas bot yang dinaiki karam di perairan negara pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada 'Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada jam 2.23 pagi.

"Sebuah kapal tangki swasta telah menyelamatkan 28 lelaki dan tujuh wanita berusia 22 hingga 51 tahun, satu mayat lelaki turut ditemui dalam keadaan terapung oleh kru kapal tangki berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Siva Kumar berkata, bot yang karam itu belum dipastikan kedudukannya dan masih dalam siasatan.

"Bot tersebut dipercayai cuba membawa masuk PATI dari Indonesia," katanya.

Siva Kumar berkata, pihaknya berjaya memindahkan kesemua PATI termasuk mayat lelaki tersebut di kedudukan 23 batu nautika barat Pulau Ketam di sini.

"Bot Perkasa 36 Maritim Selangor, bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama bot Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak ke lokasi untuk operasi menyelamat," katanya.

Beliau berkata, kesemua PATI dibawa ke Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

"Manakala mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk bedah siasat," katanya.

Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini perlu melalui jalan yang sah dan diwartakan.

"Sindiket penyeludupan PATI hanya ingin mengaut keuntungan tanpa menghiraukan keselamatan nyawa mereka," katanya.