Aaron-Wooi Yik gagal rebut emas

Aaron-Wooi Yik - Foto FB BAM
Aaron-Wooi Yik - Foto FB BAM
A
A
A

HARAPAN peminat badminton negara untuk menyaksikan gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih emas dalam acara individu Sukan Komanwel Birmingham 2022 tidak kesampaian.

Dalam aksi separuh akhir di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham sebentar tadi, Aaron-Wooi Yik tewas 21-18, 17-21, 4-21 kepada beregu tuan rumah, Ben Lane-Sean Vendy.

Setelah berhempas pulas sebelum memenangi set pertama, aksi dipamerkan Aaron-Wooi Yik pada set kedua dilihat mulai goyah dipercayai akibat keletihan setelah beraksi hebat di set pertama.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya gandingan tuan rumah bagi memenangi dua set berikutnya untuk mara ke final kali ini.

Sebelum itu, beregu lelaki, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng terpaksa akur dengan aksi pantas dipamerkan beregu nombor lapan dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty apabila tewas 6-21, 15-21, sekali gus gagal ke pentas final.

Dalam acara beregu wanita, gandingan nombot 11 dunia ketika ini, Pearly Tan-M.Thinaah dilihat berdepan masalah bagi menewaskan gandingan India, Treesa Jolly-Gayatri Pullela.

Pearly-Thinaah mencatat kemenangan 21-13 21-16 bagi mengesahkan slot ke aksi final yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.