Wira-wira angkasa kembali berkumpul selepas 40 tahun

Rodzali (kiri) beramah mesra dengan alumni yang hadir pada majlis Alumni Pesawat F5 TUDM yang diadakan di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Subang. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Rodzali (kiri) beramah mesra dengan alumni yang hadir pada majlis Alumni Pesawat F5 TUDM yang diadakan di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Subang. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SUBANG - Setelah lebih 40 tahun berlalu, bekas anggota pesawat pejuang F5-E Tiger II, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kembali berkumpul dalam satu majlis perjumpaan semula (reunion) pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Alumni Pesawat F5 TUDM, Jeneral (B) Tan Sri Rodzali Daud berkata, program reunion itu adalah kali kedua diadakan sejak pertama kali dibuat pada 1979.

"Sebenarnya majlis ini dirancang dalam tempoh yang singkat agar kami bukan hanya juruterbang F5, tetapi bekas kakitangan sokongan yang lain dapat berkumpul.

"Seperti kita tahu, pesawat F5 mula-mula kita dapat tahun 1975 dan berkhidmat selama 30 tahun. Saya sendiri secara peribadi menerbangkan F5 tahun 1979.

Rodzali (tengah) beramah mesra dengan alumni yang hadir pada majlis Alumni Pesawat F5 TUDM yang diadakan di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Subang. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Rodzali (tengah) beramah mesra dengan alumni yang hadir pada majlis Alumni Pesawat F5 TUDM yang diadakan di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Subang. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

"Malaysia adalah negara pertama dalam rantau Asia Tenggara yang dapat pesawat supersonik seperti F5 ini," katanya kepada Sinar Harian.

Majlis reunion bertemakan 'The Night of The Tiger' itu dihadiri oleh 160 alumni pesawat tempur terdiri daripada juruterbang, jurutera, kakitangan sokongan, pengawal trafik udara dan lain-lain lagi.

Turut hadir, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan bekas Panglima TUDM iaitu Air Vice Marshal, Tan Sri Sulaiman Sujak; Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Aziz; Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Nasution; Jeneral (B) Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Jeneral (B) Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Selain itu, dua bekas juruterbang perintis F5, Jeneral (B) Datuk Amirul Ghani dan Jeneral (B) Datuk Abdullah Mohd juga menghadiri majlis bermula jam 8.30 malam itu.

Rodzali (kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Jeneral (B) Datuk Amirul Ghani pada majlis Alumni Pesawat F5 TUDM yang diadakan di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Subang. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Rodzali yang juga bekas Panglima TUDM berbesar hati menyampaikan sijil pengiktirafan kepada kedua-dua bekas juruterbang itu termasuk anggota perintis kejuruteraan pesawat F5.

Rodzali berkata, dua bekas juruterbang berkenaan adalah orang pertama dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk belajar mengendalikan pesawat F5.

"Terdapat enam orang juruterbang perintis F5 tapi malam ini hanya dua mereka dapat hadir," katanya.