[VIDEO] Bekas Exco Johor dilepas, dibebaskan

Abd Latif memeluk isterinya, Nor Karmila Md Nor diluar mahkamah selepas dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
Abd Latif memeluk isterinya, Nor Karmila Md Nor diluar mahkamah selepas dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad melepas dan membebaskan bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi, anak lelakinya dan seorang lagi dari pertuduhan rasuah serta penggubahan wang haram bernilai RM35.7 juta, lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Abd Latif, 56; anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30 dan perunding hartanah, Amir Sahriffuddin Abd Raub, 49.

Abd Latif didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan 13 pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram manakala Ahmad Fauzan didakwa atas empat pertuduhan berkaitan wang haram.

Sementara Amir Shahriffuddin didakwa atas 33 pertuduhan melibatkan rasuah dan empat berkaitan wang haram.

Pertuduhan melibatkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada aktiviti haram, AMLA 2001.

Hakim Kamaruddin Kamsun dalam penghakimannya berkata, keputusan dibuat setelah mahkamah meneliti perbicaraan dan hujahan.

"Saya telah mendengar kes pembelaan dan keterangan bersumpah daripada kesemua saksi, meneliti kesemua eksibit, memeriksa keterangan bertulis yang difailkan dan hujahan lisan yang ada.

"Mahkamah membuat dapatan bahawa bayaran fee konsultasi diterima OKT (orang kena tuduh) pertama (Amir Sahriffuddin), adalah sah di sisi undang-undang, menyangkal dakwaan pendakwaan wang diperolehi daripada aktiviti haram secara tidak sah.

"Oleh itu, OKT kedua (Abd Latif) didapati tidak bersalah menggunakan kuasa untuk mendapatkan suapan.

Maka tidak ada mana-mana keadaan yang boleh diwujudkan pendakwaan wang diterima daripada hasil aktiviti haram.

"Mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dari kanan Amir Shariffuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
Dari kanan Amir Shariffuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

Oleh yang demikian, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan dari kesemua pertuduhan dan jaminan dikembalikan," katanya.

Mahkamah turut mengarahkan agar wang jaminan dipulangkan semula.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Abd Latif dan Ahmad Fauzan Hatim diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Hasnal Rezua Merican, Siti Sarah Khalil, Zulaikha Aini Mohamed Khoir Johari, Rahim Alin dan Muzzamil Merican manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

Sementara itu, dalam hujahannya Wan Shaharuddin berkata, keputusan mahkamah akan diteliti dan akan membuat rayuan berhubungnya minggu ini.

Pada 14 Jun 2017, ketiga-tiga tertuduh didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.