Waris Allahyarham Fajim Juffa terima bantuan Perkeso

Mohammed Azman meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Fajim Juffa pada Sabtu.
Mohammed Azman meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Fajim Juffa pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Waris jurulatih penerbangan, Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lalu menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu manakala bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM3,555 setiap bulan kepada balunya untuk seumur hidup dan anaknya (sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama).

Penyampaian bantuan tersebut diserahkan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed yang menyantuni isteri Allahyarham, Hayati Nawi, 50, dan tiga anak iaitu Fatini Nadia Qistina,17; Farah Hani Filzah, 25; (ahli perniagaan) dan Farisah Natasya, 23, (pensyarah kolej) di kediaman mereka di Semenyih pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, pemprosesan faedah berkenaan dilakukan dengan kadar segera sejurus Skuad Perkeso Prihatin mengetahui berita kemalangan tersebut menerusi laporan media tempatan.

“Langkah proaktif diambil dengan mendapatkan maklumat dan membuat semakan caruman Allahyarham Fajim dan hasil semakan mendapati arwah menerusi warisnya layak menerima faedah Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berbual bersama anak-anak Allahyarham Fajim Juffa ketika menziarahi keluarga Allahyarham Fajim Juffa pada Sabtu.
Ismail berbual bersama anak-anak Allahyarham Fajim Juffa ketika menziarahi keluarga Allahyarham Fajim Juffa pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, disahkan maut manakala rakannya,Muhammad Din Fikri Zainal Abidin,62, terselamat dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di Ipoh, Perak pada Isnin.

Maklumat awal mengenal pasti Allahyarham sebagai seorang jurulatih penerbangan diBats Aviation Sdn Bhd sejak Februari 2020 hingga sekarang. Allahyarham juga merupakan pesara tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan menyandang jawatan Leftenan Kolonel.

Tambah Mohammed Azman, Perkeso komited untuk memastikan kesinambungan bantuan dapat terus disalurkan kepada keluarga Allahyarham Fajim, menerusi pelbagai program dan inisiatif yang disediakan oleh Perkeso sendiri ataupun agensi-agensi lain menerusi Program Sinergi Sosial.

FOT merupakan salah satu daripada faedah yang ditawarkan menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4. Faedah ini diberikan kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

FPM pula adalah faedah yang dibayar kepada orang tanggungan sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berkala.