Bonnie alih tumpuan ke Paris 2024

Bonnie Bunyau Gustin - Foto Bernama
Bonnie Bunyau Gustin - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin kini memberi fokus sepenuhnya kepada usaha menambah koleksi emasnya pada Sukan Paralimpik 2024 selepas melakar nama sebagai atlet para negara pertama meraih pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Jurulatih skuad powerlifting negara, Jamil Adam berkata, setelah kejayaan Bonnie meraih pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, tumpuannya selepas ini adalah melatih badang para itu menghadapi Kejohanan Powerlifting Para 2023 di Dubai yang merupakan medan kelayakan ke temasya sukan di Paris itu.

"Lepas ni kita ada satu kejohanan penting dan ia merupakan piala dunia, jadi kita akan beri tumpuan kerana ia juga merupakan laluan kelayakan ranking untuk Paralimpik Paris dan juga segala kejohanan yang dianjurkan pada 2024.

"Ini merupakan satu kejohanan yang wajib disertai dan kami akan buat aksi terbaik," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Jamil turut optimis, atlet berusia 23 tahun itu mampu meraih emas sama ada pada Kejohanan Dunia di Dubai dan temasya Sukan Paralimpik di Paris nanti.

Sementara itu, Jamil turut menyifatkan kejayaan jaguh dunia dalam menggenggam emas itu amat bermakna apatah lagi ia seperti menebus kegagalan Bonnie sewaktu penyertaan sulungnya pada edisi 2018 temasya itu di Gold Coast, Australia yang menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat keempat.

Penampilan kedua atlet kelahiran Sarawak berkenaan pada Sukan Komanwel kali ini turut memecahkan rekod kejohanan.

Berkongsi mengenai persiapan sebelum ke Birmingham, Jamil turut memaklumkan Bonnie membuat persediaan rapi menjelang penampilannya di Birmingham demi memastikan emas dalam genggamannya kali ini.

"Beberapa bulan sebelum berangkat memang Bonnie fokus dan saya nampak dia berikan sepenuhnya usaha untuk latihan.

"Dengan prestasi yang dia tunjukkan dan dia juga dapat emas di Kejohanan Para Powerlifting Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtaek, Korea Selatan Jun lepas, saya memang sudah jangka dia pasti dapat emas di sini (Birmingham)," katanya.

Pada Khamis, pembawa jalur gemilang di temasya berprestij itu menepati ramalan apabila menghadiahkan pingat emas keempat kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham dalam saingan di Pusat Pameran Nasional (NEC).

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu mencipta rekod baharu temasya dalam kategori 72 kilogram (kg) dengan angkatan 220kg.

Kejayaan itu menyaksikan beliau mengulangi pencapaian di Tokyo apabila mencipta sejarah muncul atlet powerlifting pertama negara memenangi emas dengan angkatan 228kg yang juga merupakan rekod Paralimpik.

Bonnie sebelum itu turut meraih kejayaan membanggakan menerusi pencapaian memenangi dua gelaran Juara dunia pada 2019 di Kazakhstan dan 2021 di Georgia. - Bernama