Rusia sedia bincang pertukaran tahanan dengan AS

Rusia bersedia membincangkan pertukaran tahanan dengan AS di bawah kerangka saluran diplomatik sedia ada yang diluluskan oleh kepimpinan kedua-dua negara. - Foto 123RF
Rusia bersedia membincangkan pertukaran tahanan dengan AS di bawah kerangka saluran diplomatik sedia ada yang diluluskan oleh kepimpinan kedua-dua negara. - Foto 123RF
A
A
A

PHNOM PENH - Rusia bersedia membincangkan pertukaran tahanan dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah kerangka saluran diplomatik sedia ada yang diluluskan oleh kepimpinan kedua-dua negara, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada Jumaat.

Menteri itu berkata, terdapat satu saluran khas yang dipersetujui oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden AS, Joe Biden dan masih relevan.

"Kami bersedia untuk membincangkan perkara itu, tetapi di bawah kerangka saluran diplomatik yang dipersetujui oleh Presiden Putin dan Biden," kata Lavrov kepada pemberita di Kemboja.

Saluran diplomatik yang dimaksudkan itu ialah saluran yang pernah dirundingkan semasa pertemuan pemimpin Rusia dan AS Julai lalu di Geneva, menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov lapor Sputnik.

Pada akhir Julai, media AS melaporkan bahawa Washington menawarkan untuk melakukan tukaran antara warga Rusia yang dipenjarakan Viktor Bout dengan pemain bola keranjang AS Brittney Griner dan bekas anggota marin Paul Whelan, yang ditahan di Rusia.

Rusia dilaporkan sedang mencari jalan untuk perjanjian pertukaran yang lebih adil iaitu menambah seorang lagi warga Rusia, Vadim Krasiko.

Terdahulu pada Khamis, sebuah mahkamah di Rusia menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan denda 1 juta rubel (AS$16,576) kepada Griner atas tuduhan menyeludup dan memiliki minyak ganja di Rusia. - Bernama