Lima lelaki disyaki seludup diesel direman

Lima lelaki direman empat hari bermula pada Jumaat selepas disyaki terlibat penyeludupan diesel ke negara jiran.
Lima lelaki direman empat hari bermula pada Jumaat selepas disyaki terlibat penyeludupan diesel ke negara jiran.
A
A
A

KOTA BHARU - Lima lelaki direman empat hari bermula pada Jumaat selepas disyaki terlibat aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun itu diberkas oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa pada Khamis.

"Semasa melakukan serbuan di pangkalan haram Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat, anggota Batalion 8 PGA telah melihat kesemua suspek sedang menyedut minyak diesel daripada tangki lima kenderaan ke dalam tong-tong plastik.

"Kesemua suspek telah menyedut bahan api itu menggunakan hos getah dan pam daripada empat buah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, anggota PGA telah merampas 150 liter bahan api itu bersama lima buah kenderaan yang dianggarkan berjumlah RM430,372.50.

Katanya, permohonan reman itu bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Selepas ini KPDNHEP Kelantan akan merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di mahkamah," katanya.