Penghantar makanan maut rempuh belakang lori

Motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, pada Khamis.
Motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori muatan kelapa di Kilometer 44 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 4.33 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dalam perjalanan menghantar bekalan kelapa dari Bagan Datuk, Perak menghala ke Selayang.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian pemandu memperlahankan kenderaannya kerana menghampiri kawasan lampu isyarat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, Ramli berkata, motosikal Yamaha 135 LC ditunggang mangsa berusia 23 tahun dari arah belakang merempuh penghadang belakang kiri lori berkenaan.

Ramli memberitahu, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.