13 maut, 35 cedera kelab malam terbakar di Thailand

Sebuah kelab malam terbakar di daerah Sattahip di wilayah Chonburi pada awal Jumaat. - Foto Twitter/@ThaiEnquirer
Sebuah kelab malam terbakar di daerah Sattahip di wilayah Chonburi pada awal Jumaat. - Foto Twitter/@ThaiEnquirer
A
A
A

BANGKOK - Seramai 13 orang maut dan 35 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di wilayah Chonburi Thailand, tenggara ibu kota Bangkok pada awal pagi Jumaat.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 1 pagi di lokasi hiburan Mountain B di daerah Sattahip di wilayah Chonburi, kira-kira 150 kilometer ke selatan Bangkok, kata seorang pegawai dari Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan yang namanya enggan dikenali kepada AFP.

Rakaman video yang disiarkan oleh perkhidmatan penyelamat menunjukkan ramai orang menjerit ketika melarikan diri dengan pakaian mereka terbakar semasa api sedang marak.

Anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran selepas kira-kira tiga jam kelab malam tersebut terbakar.

Kebimbangan telah lama dibangkitkan mengenai pendekatan lemah Thailand terhadap kesihatan dan keselamatan terutamanya di bar serta kelab malam yang begitu ramai pengunjung.

Sebelum ini kebakaran besar-besaran telah berlaku pada pesta Malam Tahun Baharu di kelab malam Santika di Bangkok pada tahun 2009 yang menyebabkan 67 orang maut dan lebih 200 orang lagi cedera.

Pemilik kelab tersebut dipenjarakan selama tiga tahun berikutan kebakaran itu yang bermula apabila bunga api dilepaskan ketika kumpulan rock, Burn membuat persembahan.

Empat orang pula maut dalam kebakaran yang disebabkan oleh kerosakan elektrik di sebuah kelab malam di pulau percutian Phuket pada tahun 2012. - Agensi