Kecederaan tumit jejas momentum Nauraj

Nauraj kelihatan kecewa selepas gagal melepasi ketinggian 2.10 meter dalam tiga percubaan sekali gus tersingkir dalam pusingan akhir di Stadium Alexander. FOTO: Bernama
Nauraj kelihatan kecewa selepas gagal melepasi ketinggian 2.10 meter dalam tiga percubaan sekali gus tersingkir dalam pusingan akhir di Stadium Alexander. FOTO: Bernama
A
A
A

JAGUH lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa memperagakan aksi mengecewakan apabila menjadi peserta pertama tersingkir daripada 13 peserta pusingan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander.

Nauraj berazam memperbaiki rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 2.30 meter (m) yang dilakukan pada Terbuka Singapura 2017 gagal melepasi ketinggian kedua 2.10m dalam ketiga-tiga percubaan.

Aksi mengecewakan terbaru itu berlaku susulan kegagalannya untuk mempertahankan penguasaan serantau Malaysia dalam acara lompat tinggi apabila hanya mampu meraih pingat perak pada Sukan SEA Hanoi 2021 Vietnam, Mei lalu.

Atlet berusia 30 tahun yang berpangkalan di Jerman mendedahkan kecederaan tumit yang dialami semasa aksi menjejaskan penampilan ketiganya pada temasya sukan itu selepas edisi 2014 Glasgow dan 2018 di Gold Coast, Australia.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan pada masa ini.. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh dan bersedia dengan baik.

"Saya benar-benar berasa amat selesa sebelum ini tetapi gagal melakukan lompatan dengan baik berikutan kesakitan amat sangat pada tumit.

"Ia sangat mengecewakan dan saya amat marah. Anda semua tahu saya boleh menerima kegagalan tetapi Sukan Komanwel hanya menjelma empat tahun sekali," katanya kepada media Malaysia.

Nauraj kemudian berlalu pergi dan melutut di pintu keluar di kawasan zon campuran berdekatan dengan air mata mengalir mengenang nasib malangnya. - Bernama