Misteri bau busuk terjawab

Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah rumah berkunci di Jalan Meranti, Tambang Badak di sini, pada Khamis. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah
Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah rumah berkunci di Jalan Meranti, Tambang Badak di sini, pada Khamis. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Misteri bau busuk di sebuah rumah yang berkunci di Jalan Meranti, Tambang Badak di sini terungkai dengan penemuan mayat seorang lelaki pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima makluman berhubung seorang lelaki meninggal dunia dalam rumah berkenaan kira-kira jam 9 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan, abang lelaki berkenaan memaklumkan terhidu bau busuk di depan rumah adiknya yang berusia 56 tahun ketika pulang dari kerja pada jam 7 pagi Khamis.

"Saksi cuba memanggil dan menghubungi adiknya sebanyak beberapa kali tetapi tiada jawapan.

"Saksi kemudian meminta bantuan jirannya untuk menghubungi talian kecemasan 999," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, sebaik pintu dibuka dengan bantuan pihak bomba, didapati mayat ditemukan dalam keadaan terlentang dan sudah berbau.

Anggota bomba membuka pintu rumah mangsa menggunakan peralatan selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah
Anggota bomba membuka pintu rumah mangsa menggunakan peralatan selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah

Ahmad Shukri berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat sudah mereput dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah atau unsur jenayah.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.33 pagi dan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Beliau berkata, komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki terbaring dalam rumah yang berkunci.

Katanya, anggota bomba kemudiannya bertindak membuka pintu rumah menggunakan peralatan sebelum menemukan mayat di ruang tamu.