JKN Kedah mohon maaf hospital caj RM100 kepada OKU

Kenyataan media JKN Kedah pada Khamis.
Kenyataan media JKN Kedah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah hospital kerajaan, di sini, membuat permohonan maaf kepada seorang lelaki atas kesilapan mengenakan caj RM100 untuk pemeriksaan kesihatan bagi pengesahan ketidakupayaan orang kurang upaya (OKU) bagi tujuan pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata siasatan mendapati terdapat kekhilafan pemahaman kutipan fi oleh pegawai yang bertugas di hospital terbabit dengan RM100 telah dicaj kepada pesakit.

“Merujuk artikel di sosial media bertajuk "OKU Pays a Government Hospital RM100 to Confirm that He's a Handicap" pada 31 Julai lalu, siasatan mendapati terdapat kekhilafan pemahaman kutipan fi oleh pegawai yang bertugas di hospital terlibat di mana RM100 telah dicajkan pada pesakit.

"Justeru, pihak hospital telah menghubungi pesakit yang terlibat dan menyatakan mohon maaf di atas kesilapan kutipan itu.

“Maklum balas penerimaan pesakit adalah positif dan pihak hospital akan sentiasa memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit yang mempunyai rekod rawatan berterusan di hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut artikel itu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Kamaruddin dari Alor Setar, keluar masuk hospital sejak dua tahun lalu kerana menghidap pelbagai penyakit yang menyebabkannya terbaring di atas katil dan berkerusi roda.

Kamaruddin juga tidak boleh berjalan atau menggunakan tangannya dengan mudah.

Ketika berada di bilik doktor, jururawat memberitahu yang dia perlu membayar RM100 terlebih dahulu sebelum doktor dapat mengesahkan borang ketidakupayaannya untuk tujuan pendaftaran dengan JKM.

Beliau menjelaskan, pemeriksaan kesihatan bagi pengesahan ketidakupayaan OKU daripada pegawai perubatan atau pengamal perubatan bagi tujuan pendaftaran dengan JKM adalah sebanyak RM100 berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) 1982.

“Bagaimanapun, bagi individu yang kurang berkemampuan, pengecualian boleh diberikan terhadap caj pemeriksaan kesihatan oleh Pengarah Hospital atau seseorang yang dilantiknya berdasarkan peruntukan perenggan 16 (7) perintah berkenaan tertakluk kepada pengecualian diberikan kepada pesakit luar dan pesakit Kelas Tiga,” katanya.

Tambah beliau, bagi individu yang jelas kecacatan fizikalnya seperti kudung tangan atau kaki dan buta penglihatan tidak akan dikenakan sebarang bayaran bagi pengesahan ketidakupayaan atau OKU.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pengarah hospital akan melakukan edaran semula garis panduan caj pemeriksaan kesihatan bagi pengesahan ketidakupayaan OKU kepada semua kakitangan yang bertugas di kaunter-kaunter hasil hospital, selain taklimat ulang kaji pemahaman yang akan dilakukan oleh bahagian pengurusan hospital.