Cadang warta taman laut di perairan Selangor

Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan kerja-kerja melabuh tukun dasar laut di Perairan Sabak Bernam pada Khamis.
Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan kerja-kerja melabuh tukun dasar laut di Perairan Sabak Bernam pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor dicadang mewartakan beberapa kawasan di perairan Selangor sebagai taman laut negara bagi melindungi serta memulihara pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik.

Timbalan Pengarah Perikanan Malaysia (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, beberapa lokasi sudah dikenal pasti jabatan itu antaranya di Pulau Angsa, Kuala Selangor.

"Di Selangor misalnya, Pulau Angsa dilihat sesuai untuk dijadikan taman laut, tetapi jika di Pulau Ketam ia tidak sesuai memandangkan dihuni penduduk," katanya pada sidang akhbar selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Dasar Lembut di Perairan Sabak Bernam pada Khamis.

Tambahnya, tempoh permohonan kajian taman laut mengambil masa kira-kira setahun dan ia akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kemudiannya dibincangkan ke peringkat Persekutuan.

Menurut Wan Muhammad, pewartaan sesebuah taman laut tidak semestinya melibatkan kawasan seluas dua batu nautika kerana di Melaka misalnya ia dibangunkan di kawasan 500 meter dari pesisir pantai sahaja iaitu membabitkan kawasan 100 kilometer persegi yang menjadi pembiakan ikan dan terumbu karang.

Wan Muhammad berkata, selain memulihara dan menguruskan ekosistem marin, taman laut juga berpotensi besar sebagai produk ekopelancongan.

"Seperti contoh, kerajaan Terengganu mampu menjana kutipan hasil RM1.2 juta setahun menerusi Taman Laut Terengganu," ujar beliau.

Menurut beliau, hasil pendapatan itu diperoleh menerusi caj pemuliharaan iaitu hanya RM5 kepada dewasa, manakala kanak-kanak RM2.50 kepada rakyat tempatan serta warga asing pula sebanyak RM30.

"Begitu juga Pulau Paya di Kedah, walaupun ia kecil tetapi menjana pendapatan RM500,000 setahun melalui caj pemuliharaan," katanya.

Ujar beliau, caj pemuliharaan diambil kerajaan Persekutuan menerusi Tabung Amanah dan kerajaan negeri melalui pejabat daerah.

"Apabila kerajaan Persekutuan dapat RM500,000, automatik kerajaan negeri mendapat tambahan pendapatan RM500,000 dan ini secara tidak langsung, walaupun kita bangunkan ia (taman laut), tetapi kerajaan negeri juga mendapat hasil daripada caj pemuliharaan itu," jelasnya.