Ride to Khatam budayakan hidup dengan al-Quran

Antara peserta yang menjayakan program Kias Ride to Khatam bagi membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Antara peserta yang menjayakan program Kias Ride to Khatam bagi membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) memperkenalkan program Ride to Khatam bagi membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.

Pengarah Ride to Khatam, Muhammad Amiri Ab Ghani berkata, seramai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi ke 10 buah masjid di negeri ini selama tiga hari bagi membudayakan bacaan al-Quran mengikut tertib.

“Setiap masjid yang disinggah, kami meluangkan masa membaca al-Quran sebanyak satu juzuk secara beramai-ramai.

“Selain itu, terdapat juga sesi tafsir al-Quran yang disampaikan oleh Pengarah Institut Bahasa Antarabangsa Kias, Dr Mohd Azhar Abdullah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, tujuan utama program tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan antara penunggang motosikal berkuasa tinggi dan masyarakat selain menjadikan al-Quran sebagai budaya dalam kehidupan.

Muhammad Amiri berkata, antara masjid yang terlibat dengan program tersebut ialah Masjid Ismaili (Tumpat), Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Rantau Panjang), Masjid Al-Wadud (Jeli), Masjid Al-Majid (Kuala Krai) dan beberapa buah masjid lagi.

Katanya, acara yang berakhir di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Murtadha Abdullah.