Shah Firdaus boleh pergi lebih jauh: Beasley

Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus meraih pingat gangsa dalam acara lelaki keirin semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Lee Valley Velo Park pada Sabtu. - Foto Bernama
Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus meraih pingat gangsa dalam acara lelaki keirin semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Lee Valley Velo Park pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, percaya peluang terbuka luas bagi Muhammad Shah Firdaus untuk mara lebih jauh di pentas dunia selepas meraih pingat gangsa acara keirin dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, di sini.

Beasley menegaskan bahawa persembahan sebegitu lama diharapkan daripada Shah Firdaus, yang kembali pada '90 peratus terbaik' dalam acara itu di sini dan akan menjadi titik perubahan bagi pelumba kelahiran Johor itu untuk menyerlah dalam kejohanan atau temasya sukan akan datang.

"Shah Firdaus memang berbakat dan memerlukan persembahan seperti ini untuk menyakinkan diri. Saya percaya bahawa kita akan dapat melihat Shah Firdaus sebenar dan apa yang beliau mampu capai di velodrom seterusnya," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Shah Firdaus menjadi penyelamat kepada kem berbasikal trek negara selepas beliau menyumbang satu-satunya pingat daripada temasya itu manakala lima lagi pelumba pulang dengan tangan kosong.

Dalam pada itu, Beasley turut berbangga dengan persembahan dua pelumba lelaki - Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom - dan tiga pelumba wanita - Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri - di sini.

Walaupun bergelut untuk menyerlah pada temasya itu, beliau berkata, kesemua pelumba muda tersebut begitu berbakat dan mengingatkan peminat sukan tanah air supaya lebih bersabar terhadap perkembangan mereka.

Beasley juga yakin bahawa mereka tidak jauh daripada membina sebuah pasukan muda berwajah baharu yang memerlukan masa untuk membangunkan fizikal dan mental pelumba.

"Ingatlah Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Mohd Rizal Tisin mengambil masa beberapa tahun sebelum mereka mula beraksi bersama pelumba terbaik dunia di pentas dunia...jadi tolong berikan mereka masa untuk matang,” katanya. - Bernama