Pendirian Pas terhadap perlaksanaan hudud tetap teguh

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pendirian Pas terhadap perlaksanaan hukum hudud tetap teguh walaupun perjuangan berkait dengan perkara tersebut dilihat kurang diberikan perhatian oleh parti berkenaan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, usaha itu dapat dilihat menerusi penganjuran sambutan Hari Hududullah peringkat Kelantan setiap tahun.

"Perjuangan hudud termasuklah mengangkat syariat Islam tidak pernah berubah sebaliknya terus kekal utuh bersama Pas," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Hududullah Peringkat Kelantan di Dewan Besar Balai Islam di sini pada Rabu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, bagaimanapun pada masa yang sama Pas tetap perlu memberi keutamaan kepada perkara-perkara lain.

Beliau berkata, hal ini termasuklah memastikan kerajaan yang ada pada hari ini stabil.

Mohd Amar berkata, kestabilan kerajaan amatlah penting kerana ia melibatkan kepentingan negara.

"Kita tahu kedudukan Pas dalam kerajaan tidak kuat, jadi kita tunggu dulu (hudud).

"Mungkin selepas PRU atau suasana yang diizinkan Pas akan mengemukakan kembali isu ini," katanya.