AUG 2022: Buru sekurang-kurangnya hingga 45 pingat emas

Pekan Ramli
Pekan Ramli
A
A
A

KONTINJEN Malaysia di temasya Sukan Universiti ASEAN kini bertukar arah untuk memburu sekurang-kurangnya 40 hingga 45 pingat emas selepas berjaya menepati sasaran 35 pingat emas, pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen IPT Malaysia, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sasaran baharu itu dianggap realistik selepas melihat keyakinan dan semangat tinggi ditunjukkan atlet negara sehingga berjaya mencapai sasaran ditetapkan tanpa sebarang halangan.

"Sebenarnya sasaran 35 pingat emas ini sangat mencabar namun atlet menunjukkan semangat yang tinggi dan beraksi cemerlang. Dengan pingat emas ke-35 dan ke-36 semalam, ini adalah satu pencapaian di luar jangkaan (tercapai awal).

"Banyak lagi acara sedang berlangsung dan belum berakhir. Jadi, kita rasakan boleh dapat lebih lagi daripada disasarkan.

"Berdasarkan perkiraan dilakukan, kita jangkakan boleh mencapai 40 ke 45 lagi pingat emas bagi temasya kali ini," katanya.

Pada Selasa, kontinjen negara di temasya AUG 2022 berjaya mencapai sasaran pingat 35 emas diletakkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi menerusi atlet taekwondo negara, Nur Hidayah Abdul Karim yang berjaya mengungguli acara poomsae individu wanita.

Hidayah Abdul Karim dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 8.383 mata mengatasi atlet Thailand, Thunsinee Mookda (8.350 mata) di tempat kedua.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan peluang Malaysia untuk muncul juara keseluruhan, Pekan mengakui ia bukan satu tugas mudah memandangkan pendahulu ketika ini iaitu tuan rumah Thailand mempunyai kontinjen agak kuat.

Bagaimanapun beliau yakin, Malaysia menamatkan temasya ini dalam kelompok tiga terbaik berdasarkan pungutan pingat emas semasa kontinjen negara.

“Kita hanya jadi juara keseluruhan sebanyak dua kali iaitu pada 2008 sebagai tuan rumah dan 2012 di Laos. Lihat pada kontinjen Thailand, kita tahu mereka lebih bersedia.

“Mereka ada lebih 100 universiti berbanding kita yang ada sekitar 20 universiti awam. Jadi, bayangkan kekuatan mereka dan kalau mahu jadi juara keseluruhan, kita perlu mengatasi Thailand.

“Tetapi dengan pungutan pingat emas kita pada masa ini, peluang menamatkan saingan dalam kedudukan tiga terbaik memang cerah,” katanya.

Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga pada edisi 2018 di Myanmar, belakang Thailand dan Indonesia.