Agro Food Park sedia barangan pertanian, makanan sedap

Gambar dari kiri: Nik Nor Baizura, Neda Alip, Mohamad Faisal
Gambar dari kiri: Nik Nor Baizura, Neda Alip, Mohamad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai yang mahu mencari barang-barang berkaitan industri asas tani dan makanan sedap serta menarik sempena ekspo Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula Khamis sehingga 14 Ogos ini boleh mengunjungi Agro Food Park.

Penganjur Agro Food Park, Nik Nor Baizura Sabiamad dari Ultimate Titan Sdn Bhd berkata, seramai 118 peserta pempamer dan jualan di bawah Agro Food Park akan menyertai ekspo MAHA 2022 dan dibahagikan kepada dua bahagian.

Jelasnya, bahagian pertama membabitkan 72 peserta akan mempamerkan barang-barang dan jualan yang mempunyai kaitan dengan industri asas tani.

"Selepas itu, kita ada bahagian kedua yang terdiri daripada 'Asian Food Fest'. Ada 46 penggerai yang menjual makanan sedap dan menarik dikumpulkan di sini.

"Ia merupakan tempat makan yang besar dan selesa disediakan (untuk pengunjung). Tempat ini boleh memasukkan 500 orang pengunjung pada satu-satu masa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

MAHA 2022 yang bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pameran itu pada 6 Ogos ini.

Ronald berkata, sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan mengikut segmen termasuk pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat, seminar dan konvensyen agromakanan selain pengoperasian laman-laman dan rumah negeri.

Tambah Baizura, pihaknya juga menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang 11 hari MAHA 2022 berlangsung.

"Kita ada treasure hunt, happy hour, demonstrasi makanan, silap mata dan tiap-tiap hari ada buskers bermula jam 6 petang sampai malam," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi Korporat Ultimate Titan, Neda Alip Kadir berkata, pihaknya turut menganjurkan program 'Fun Run' sejauh 5 kilometer pada 13 Ogos.

"Kita juga menganjurkan program Selawat Perdana MAHA pada 12 Ogos di mana 200 orang pertama yang hadir akan mendapat al-Quran percuma," katanya.

Sementara itu, peserta MAHA 2022, Mohamad Faisal Mohamed Norawi, 40, pula berkata, dia tertunggu-tunggu ekspo berkenaan kembali diadakan malah makin seronok apabila dapat menjadi peserta buat pertama kalinya.

"Cita-cita saya untuk menyertai MAHA telah tercapai. Kemudian, saya dapat memperkenalkan lagi produk-produk yang kami bawa terutamanya tanaman vanila untuk diketengahkan di Malaysia," katanya.

Mohamad Faisal juga berharap agar mendapat jualan yang baik nanti disebabkan sebelum ini semua peniaga terjejas akibat Covid-19.

“Jadi kami harap MAHA yang diadakan pada kali ini akan dapat membantu peniaga-peniaga seperti kami," katanya yang menjual produk berasaskan vanila.

Katanya, keputusan kerajaan untuk mengadakan MAHA pada tahun ini juga merupakan satu keputusan yang baik.