APG: Perenang negara raih satu lagi emas, dua perak

Mohd Adib Iqbal meraih emas acara 50m kuak dada lelaki SB14 pada Sukan Para ASEAN (APG) di Pusat Renang Jatidiri, Semarang pada Selasa. - Foto FB MSN
Mohd Adib Iqbal meraih emas acara 50m kuak dada lelaki SB14 pada Sukan Para ASEAN (APG) di Pusat Renang Jatidiri, Semarang pada Selasa. - Foto FB MSN
A
A
A

PERENANG negara terus meraih pingat pada Sukan Para ASEAN (APG) di Pusat Renang Jatidiri, Semarang, Indonesia dengan menambah satu lagi emas dan dan dua perak pada Selasa.

Biarpun hanya dua peserta bertanding dalam acara 50 meter (m) kuak dada lelaki SB14, tidak menghalang Mohd Adib Iqbal Abdullah untuk mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 33.55 saat (s) dan memperoleh emas sementara wakil Thailand, Master Parami Chaysri (37.57s) pulang dengan tangan kosong.

Rekod 33.61s sebelum ini dicatat atlet Indonesia, Irfan Septiana semasa edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli memperoleh perak dalam 200m gaya bebas lelaki S5 dengan masa tiga minit 0.620s sementara atlet Thailand, Phuchit Aingchaiyaphum menduduki tempat pertama dengan 2:57.89s.

Seorang lagi wakil Malaysia, Zy Lee Kher (03:02.180s) tidak mendapat pingat kerana hanya tiga peserta bertanding dalam acara itu.

Sebutir lagi pingat perak disumbangkan Muhd Imaan Aiman Muhd Redzuan menerusi acara 100m kuak lentang lelaki S14.

Emas menjadi milik atlet Filipina Ariel Joseph Alegarbes (1:03.010s) sementara Chuvong Jirachot dari Thailand (1:11.680s) memperoleh gangsa.

Malaysia menggondol enam emas dan sebutir perak dalam pembukaan acara renang semalam dan beberapa lagi pingat dijangka diperoleh pada Rabu. - Bernama