Tidak mahu membazir, YIK terima perabot terpakai

Amer (tengah) menunjukkan perabot terpakai kepada Engku Rajhan (kanan) dan Mohd Zaki.
Amer (tengah) menunjukkan perabot terpakai kepada Engku Rajhan (kanan) dan Mohd Zaki.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengambil pendekatan tidak membazir apabila menerima perabot terpakai sumbangan Hotel The Grand Renai bernilai kira-kira RM30,000.

Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, yayasan berkenaan akan memanfaatkan sumbangan itu dengan mengagihkan perabot ke sekolah seliaan YIK.

Menurutnya, YIK mempunyai 94 sekolah dengan lebih 30,000 pelajar dan antaranya memerlukan fasiliti lengkap.

"Tiada guna membazir dan membeli perabot baharu kerana kita percaya kualiti tinggi perabot ini, struktur dan luarannya masih kukuh dan cantik," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Penyerahan Perabot Terpakai kepada YIK pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Besar Hotel The Grand Renai, Amer Ahmad dan Timbalan Pengarah (Akademik), Mohd Zaki Deraman.

Engku Rajhan turut memuji kolaboratif antara Hotel The Grand Renai dan YIK selain mengalu-alukan syarikat yang mahu memberi sumbangan seumpama itu.

Sementara itu, Amer berkata, pemberian lebih 40 sofa berkenaan merupakan inisiatif hotel kepada YIK.

Tambah beliau, program kedua bersama yayasan tersebut antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hotel The Grand Renai.

"Kami berharap sumbangan ini boleh membantu yayasan menambah kemudahan yang ada di pejabat dan sekolah," katanya.