Naomi mahu bangkit di Silicon Valley

Naomi - Foto EPA-EFE/Shutterstock
Naomi - Foto EPA-EFE/Shutterstock
A
A
A

BEKAS pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka mahu menjadikan Kejohanan Tenis Silicon Valley hujung minggu ini sebagai medan kebangkitannya setelah berehat sejak Mei lalu akibat kecederaan tumit.

Pemain kelahiran Jepun berusia 24 tahun itu juga berazam untuk memberikan aksi terbaik bagi mengharungi kejohanan berkenaan.

“Kejohanan ini mungkin menjadi medan kebangkitan dan saya mahu memberikan yang terbaik di sepanjang kejohanan.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan bakal berdepan tentangan sengit khususnya daripada pemain muda yang beraksi pada kejohanan itu nanti.

“Apa pun, saya kini bersedia untuk ‘kembali’ ke sukan tenis dan kembali memenangi trofi yang dipertandingkan,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Naomi beraksi adalah pada Terbuka Perancis Mei lalu sebelum tersingkir pada pusingan pertama kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Amanda Anisimova.

Naomi juga tidak beraksi pada kejohanan Wimbledon Julai lalu, gara-gara mengalami kecederaan tumit.

Sementara itu, Naomi berazam untuk memperbaiki kedudukan rankingnya selepas berada dalam kelompok pemain-pemain terbaik dunia.

Naomi yang kini menghuni ranking ke-41 dunia turut berazam untuk memperbaiki kedudukan ranking berkenaan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, saya pernah menghuni ranking pemain nombor satu dunia... kini saya mahu kembali berada pada ranking berkenaan.

“Saya yakin ia mampu untuk dilaksanakan dan berusaha sebaik mungkin bagi merealisasikan perkara itu,” katanya.