Bicara kes SM Faisal ditangguh September depan

SM Faisal (kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding mencederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi pada Selasa.
SM Faisal (kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding mencederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang berhadapan tuduhan mencederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa ditangguhkan ke tarikh 8 September depan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin berkata, kedua-dua pihak setuju dengan tarikh baharu ditetapkan berlangsung selama tujuh hari, bermula September.

Menurutnya, tarikh perbicaraan baharu itu ialah pada 8, 12 dan 14 September sementara Oktober pada 14 dan 26 dan terakhir 17 serta 18 November.

“Prosiding pada Selasa dijadualkan untuk sambung bicara tetapi ditangguhkan ke tarikh lain, berikutan majistret yang mendengar kes itu berdepan dengan hal kecemasan.

“Pada tarikh berkenaan, seorang saksi remaja lelaki yang juga anak kepada SM Faisal dan Emilia berusia 15 tahun akan memberi keterangan dalam prosiding yang diadakan secara tertutup,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

SM Faisal, 43, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara jam 12.30 tengah hari dan jam 4.30 petang pada 22 November 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.