Lelaki pukul, ugut pengurus pusat kecergasan ditahan

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul dan mengugut seorang pengurus pusat kecergasan di sebuah stesen minyak di sini pada 22 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun pada jam 8.30 malam, Isnin.

"Kita turut merampas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, dalam kejadian pada jam 5 pagi, lelaki berusia 34 tahun memandu sebuah kereta Perodua Myvi mendakwa suspek yang memandu Ford Ranger itu telah mengekorinya sehingga ke sebuah stesen.

"Mangsa kemudian telah ditumbuk oleh suspek dan diugut bunuh sekiranya mangsa menjerit.

"Mangsa mengalami sakit di pipi kiri dan telah menerima rawatan di Hospital Ampang," katanya.

Mohamad Farouk memberitahu, siasatan awal punca kejadian adalah suspek menuduh mangsa ada mengeluarkan kata-kata kesat.

"Namun punca kejadian sebenar masih dalam siasatan," ujarnya.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah.

"Suspek akan direman pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan," jelasnya.