Jenazah Fajim Juffa dikebumikan petang ini

Ahli keluarga Fajim Juffa menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan di hadapan Jabatan Forensik HRPB Ipoh.
Ahli keluarga Fajim Juffa menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan di hadapan Jabatan Forensik HRPB Ipoh.
A
A
A

IPOH - Jenazah jurulatih penerbangan yang terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini pada Isnin akan dikebumikan di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor.

Bapa saudara yang mahu dikenali sebagai Radzi berkata, jenazah Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, akan terus dibawa ke Surau Al-Kauthar untuk disolatkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran.

Radzi berkata, arwah jarang berkongsi perkara berkaitan kerjanya kepada ahli keluarga mahupun sanak saudara.

"Kami hanya bersembang mengenai keluarga kerana dia amat menyayangi mereka. Isteri mana yang tidak sedih kehilangan orang tersayang tetapi saya rasa kini dia reda.

"Fajim merupakan satu-satunya ahli keluarganya yang mengikut jejak langkah ayahnya. Abangnya bekerja sebagai jurutera penerbangan dijangka tiba petang ini dari luar negara," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Selasa.

Radzi menyifatkan arwah sebagai seorang yang merendah diri dan mudah bergaul.

Jelasnya, seluruh ahli keluarga lain dan sahabat handai sedia menunggu di Selangor.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang jurulatih penerbangan disahkan maut selepas pesawat ringan Piper 28 yang berlepas dari Bats Aviation Sdn Bhd (BATS) terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini.

Pada masa sama, ketua jurulatih penerbangan, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang terselamat dalam nahas itu sedang menerima rawatan akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.