AUG 2022: Kabilan tekad tamatkan penguasaan Thailand

Kabilan Jelevan (kanan) bersama barisan atlet Muay Thai negara yang beraksi di AUG 2022.
Kabilan Jelevan (kanan) bersama barisan atlet Muay Thai negara yang beraksi di AUG 2022.
A
A
A

ATLET Muay Thai negara, Kabilan Jelevan Thiagarajan, tekad mahu menamatkan penguasaan atlet Thailand dalam acara Muay Thai apabila turun beraksi pada perlawanan akhir kategori 60 kilogram (kg) di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 pada Rabu.

Menurut Kabilan, meskipun mengakui atlet tuan rumah mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya dalam usaha menghadiahkan pingat emas pertama dalam acara Muay Thai.

“Melihat kepada kekuatan lawan, saya menjangkakan perlawanan sengit dengan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk memenangi perlawanan.

“Saya akan perbaiki kualiti dan teknik termasuk berbincang bersama jurulatih bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

“Sekarang ini, saya tidaklah berada dalam situasi tertekan walaupun lawan bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri kerana perkara utama perlu fokus mengutip mata pada perlawanan itu,” kata pelajar Kolej Komuniti Hulu Langat.

Untuk rekod pada edisi 2018 di Myanmar menyaksikan acara Muay Thai tidak dipertandingkan sebelum dipertandingkan semula pada temasya AUG 2022.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara menyasarkan satu perak dan tiga gangsa dalam sukan Muay Thai berdasarkan kepada prestasi terkini atlet negara.

“Ramai yang kata sukar untuk tundukkan tuan rumah kerana sukan ini dikuasai mereka namun bagi saya apa pun boleh berlaku pada hari pertandingan nanti di Gimnasium Kampus Utama Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat,” kata Kabilan.