Muhammad Azeem pecah rekod kebangsaan 100m

Muhammad Azeem dengan gayanya yang tersendiri setelah memenangi acara saringan berkenaan. Foto twitter WorldAthletics
Muhammad Azeem dengan gayanya yang tersendiri setelah memenangi acara saringan berkenaan. Foto twitter WorldAthletics
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, 18, mencipta sensasi tersendiri apabila memecahkan rekod 100 meter (m) kebangsaan apabila mencatatkan 10.09 saat (s) apabila memenangi acara saringan Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Stadium Pascual Guerrero, Cali, Colombia pada Selasa.

Pencapaian Muhammad Azeem pada saringan ke lapan itu sekali gus menyaksikan atlet kelahiran Ipoh, Perak itu memecahkan rekod 10.18 s yang dicatatkan Khairul Hafiz Jantan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak, 2016 lalu.

Malah, pencapaian atlet kelahiran Ipoh, Perak itu nyata membanggakan apabila ia merupakan catatan masa kedua terpantas bagi kesemua lapan acara saringan berkenaan setelah atlet Botswana, Letsile Tebogo mencatatkan 10.00 s yang juga diiktiraf sebagai rekod baru kejohanan.

Muhammad Azeem bakal meneruskan cabaran negara pada aksi separuh akhir kejohanan berkenaan yang dijadualkan berlangsung awal pagi esok (Rabu).

Kejayaan Muhammad Azeem itu mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Pencapaian luar biasa dari bumi Colombia!!!. Teruskan momentum kejayaan ini Azeem,” katanya dalam ciapan di Twitter.