PDRM selesai rakam percakapan Apandi

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakaman percakapan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) telah selesai dijalankan polis, pada Isnin.

Bagaimanapun, lokasi rakaman percakapan tersebut tidak diketahui dan pihak polis juga mengesahkan proses tersebut tidak dibuat di Bukit Aman.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, rakaman percakapan telah diambil hari ini kira-kira jam 2.30 petang oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Proses merakam keterangan itu selesai pada jam 3.45 petang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jumaat lalu, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Mohamed Apandi baru-baru ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Media tempatan sebelum itu melaporkan, Charles Santiago telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Rabu lalu untuk dirakam percakapan berhubung laporan yang dibuatnya itu.