Tiga termasuk pasangan kekasih ditahan miliki pistol, dadah

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan sepucuk pistol jenis Revolver Smith dan Wilson.357 Magnum dan satu kotak berisi 29 butir peluru yang dirampas oleh polis.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan sepucuk pistol jenis Revolver Smith dan Wilson.357 Magnum dan satu kotak berisi 29 butir peluru yang dirampas oleh polis.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga termasuk sepasang kekasih ditahan susulan penemuan sepucuk pistol, pil kuda dan ganja bernilai hampir RM20,000 di Kampung Kedemit, Palekbang, Tumpat pada Sabtu lalu.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan di dua rumah di kampung berkenaan pada jam 11 malam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada serbuan pertama di sebuah rumah tidak bernombor, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama teman wanitanya yang berusia 27 tahun.

“Hasil siasatan menjumpai satu tin bertutup di atas tanah tempat suspek lelaki berdiri dan di dalam tin itu mengandungi dadah jenis pil kuda sebanyak 800 biji bersama ketulan mampat dipercayai ganja seberat 225 gram dianggarkan bernilai RM19,250.

“Turut dijumpai di kawasan semak, satu bekas plastik mengandungi sepucuk pistol jenis Revolver Smith dan Wilson.357 Magnum dan satu kotak berisi 29 butir peluru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, pada Isnin.

Muhamad Zaki (tiga dari kanan) menunjukkan pil kuda yang dirampas di sebuah rumah di di Felda Kemahang 3 di Tanah Merah.
Muhamad Zaki (tiga dari kanan) menunjukkan pil kuda yang dirampas di sebuah rumah di di Felda Kemahang 3 di Tanah Merah.

Menurutnya, hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi suspek lelaki yang berusia 35 tahun di sebuah rumah lain di kampung sama dan dipercayai adalah pemilik pistol berkenaan.

“Suspek lelaki pertama yang ditahan memberitahu pistol itu adalah kepunyaan suspek ketiga tersebut.

“Polis bagaimanapun masih menyiasat motif pemilikan senjata api berkenaan termasuk sama ada diberi pinjam kepada suspek utama serta sumber senjata api itu diperoleh,” katanya.

Tambahnya, polis turut menyita dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha Y25ZR, sebuah kereta jenis Honda Jazz, jam tangan jenama Rado dan kad bank.

“Kesemua mereka yang positif dadah jenis metamphetamine itu memiliki rekod jenayah lampau antara tiga hingga 11 rekod dan ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad sehingga Rabu ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang buruh lelaki berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, pada jam 12.40 tengah hari, Jumaat lalu.

“Pemeriksaan menjumpai beg berisi bungkusan plastik mengandungi 2,600 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM26,000.

“Sebuah motosikal jenis Honda EX5 disita dan suspek yang positif dadah jenis metamphetamine itu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.