Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

Individu yang diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka hampir karam di perairan Pulau Mantabuan, Semporna pada Ahad.
Individu yang diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka hampir karam di perairan Pulau Mantabuan, Semporna pada Ahad.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang juragan terpaksa berenang selama enam jam ke Pulau Mantabuan, di sini, bagi mendapatkan bantuan selepas bot yang dinaikinya bersama 11 penumpang hampir karam pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, semua penumpang terdiri daripada tujuh warga asing dan lima warga tempatan termasuk seorang kanak-kanak lelaki terpaksa berpaut pada bot yang diikat bersama tong minyak kosong sementara menunggu bantuan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bahawa berlaku kejadian sebuah bot karam di perairan Pulau Mantabuan.

"Hasil siasatan mendapati bot yang dinaiki seorang juragan dan 11 individu terdiri daripada sembilan lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak berusia antara tiga hingga 79 tahun itu bertolak dari negara jiran menuju ke pekan Semporna kira-kira jam 2 petang.

"Ketika tiba perairan Pulau Mantabuan, bot yang dinaiki mereka dipercayai terlanggar kayu yang terapung sehingga menyebabkan bot bocor dan dimasuki air," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, juragan dan penumpang berkenaan bertindak mengikat tong minyak kosong di keliling bot bagi mengelak daripada tenggelam.

"Juragan kemudian bertindak berenang ke arah Pulau Mantabuan selama enam jam untuk meminta bantuan daripada pihak berkuasa yang berada di pulau berkenaan.

"Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di Pulau Mantabuan telah menjalankan tindakan menyelamat semua mangsa terlibat dan menyerahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan bot dengan cuai dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000.

"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen berikutan terdapat empat individu tidak mempunyai dokumen," katanya.