Empat legenda bola sepak kini bergelar Datuk

Dari kiri, Dollah, Zainal Abidin, Yunus dan Ahmad (kanan sekali) bersama pemerhati sukan tanah air, Pekan Ramli pada majlis penganugerahan berkenaan.
Dari kiri, Dollah, Zainal Abidin, Yunus dan Ahmad (kanan sekali) bersama pemerhati sukan tanah air, Pekan Ramli pada majlis penganugerahan berkenaan.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada empat legenda bola sepak negara di atas penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Isnin.

Mereka ialah Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusoff dan Yunus Alif.

Menurut Hamidin, ucapan tahniah itu turut dizahirkan oleh kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan seluruh warga kerja FAM.

"Sekalung tahniah diucapkan kepada empat bekas pemain bola sepak kebangsaan atas penganugerahan berkenaan.

"Segala jasa dan pengorbanan mereka kepada bola sepak Malaysia pastinya akan terus dihargai dan tetap dikenang," katanya menerusi laman Facebook rasmi FAM pada Isnin.

Kesemua pemain lagenda bola sepak negara itu menerima darjah kebesaran berkenaan pada majlis istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan.

Untuk rekod, Zainal Abidin, 60 yang kini memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih Penang FC, merupakan salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.

Selain itu, Dollah, 59, yang kini mengemudi skuad Sri Pahang FC pernah beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

Artikel Berkaitan:

Ahmad, 62, pula akan sentiasa dikenang sebagai kapten skuad kebangsaan ketika meraih pingat emas Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Yunus, 64, merupakan pemain kebangsaan di penghujung era 1970-an hingga 1980-an dan namanya cukup sinonim bersama abangnya, Datuk Abdah Alif.