Taktik simpan arak seludup dalam stor terbongkar

Kamarul Zaman menunjukkan arak seludup yang dirampas dalam operasi di sebuah stor belakang kedai runcit, pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, pada Isnin.
Kamarul Zaman menunjukkan arak seludup yang dirampas dalam operasi di sebuah stor belakang kedai runcit, pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Taktik seorang warga emas menyembunyikan minuman keras tidak bercukai dalam stor di belakang sebuah kedai runcit miliknya di Taman Daya di sini terbongkar apabila diserbu polis pada malam Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia 63 tahun dan seorang pembantu kedai warga asing, 30, ditahan dalam serbuan yang dilakukan jam 12.35 tengah malam.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 24 botol arak dan 1,274 karton arak pelbagai jenama.

"Kedudukan stor tidak sampai 100 meter di belakang kedai dijadikan tempat simpanan arak seludup yang dijual kepada pelanggan tetap dikenali sahaja bagi mengelak perbuatannnya terbongkar.

"Lelaki itu mengaut untung dua kali ganda apabila menjual arak seludup itu pada harga biasa," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi di sini pada Isnin.

Kamarul Zaman berkata, kedua-dua suspek itu ditahan reman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan dijalankan.

"Suspek warga asing tersebut akan turut disiasat kerana menyalahgunakan dokumen perjalanannya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu minyak diesel dan rokok seludup dalam tiga serbuan berasingan di Kulai, Iskandar Puteri dan Batu Pahat.

Katanya, operasi dijalankan antara 28 Julai hingga awal pagi Isnin berjaya menahan 15 individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 53 tahun.

"Semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 117,600 liter minyak diesel bernilai RM191,240, 15 lori, sebuah lori tangki, 18 tangki minyak, enam pam minyak dan hos dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.5 juta

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 35(1)(c) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.