Peragut sasar wanita di lorong sunyi diberkas

Seorang penganggur ditahan selepas dipercayai terlibat kes ragut di Taman Melawati pada Ahad lalu.
Seorang penganggur ditahan selepas dipercayai terlibat kes ragut di Taman Melawati pada Ahad lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang penganggur yang memiliki lima rekod jenayah diberkas pada Isnin, selepas dipercayai terlibat kes ragut di Taman Melawati di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 2.15 petang, Ahad melibatkan mangsa seorang wanita berusia 20 tahun.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal ketika melalui lorong di kawasan terbabit dihampiri suspek yang terus meragut seutas gelang tangannya bernilai kira-kira RM2,000.

"Bertindak hasil maklumat, sepasukan polis berjaya menahan suspek berusia 30 tahun kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di Pandan Jaya dengan rampasan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian ragut itu.

"Turut dirampas adalah resit pajak gadai dan sejumlah wang tunai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah menyasarkan mangsa yang memakai gelang tangan emas dan bersendirian melalui jalan sunyi.

Katanya, suspek juga didapati memiliki lima rekod jenayah lampau selain ujian air kencing positif dadah jenis syabu.

"Suspek akan direman di Mahkamah Ampang dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.