Zulkifeli Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity baharu

Zulkifeli Mohd Zin
Zulkifeli Mohd Zin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) mengumumkan pelantikan Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, lantikan itu dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri (B) Panglima Mohd Azumi Mohamad yang bersara pada 30 Jun.

Zulkifeli berpengalaman lebih 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sumbangan beliau begitu signifikan di dalam bidang keselamatan telah mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, Zulkifeli juga merupakan pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional atau NASCA.

"Saya yakin, melalui pengalaman beliau yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan ini tepat pada masanya selaras dengan hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital dan berdaya saing.

"Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang," katanya.

Zulkifeli mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan seterusnya melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi dan Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom.

Beliau merupakan graduan dari Royal Thai Army Command and General Staff College, Thailand pada tahun 1992 dan memiliki Sarjana Strategi Sumber Negara dari National Defence University (NDU), Washington DC, Amerika Syarikat pada 2001.

Zulkifeli dianugerahkan Doktor Kehormat bidang pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pada 2013.

Beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010 seterusnya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-18 pada 15 Jun 2011 dan bersara pada 14 Jun 2017.