Ten Hag puas hati aksi pramusim United

Ronaldo (kanan) berjaya melepaskan rembatan ke pintu gol walaupun cuba diasak pertahanan Rayo Vallecano pada aksi pra-musim berkenaan. - Foto Reuters
Ronaldo (kanan) berjaya melepaskan rembatan ke pintu gol walaupun cuba diasak pertahanan Rayo Vallecano pada aksi pra-musim berkenaan. - Foto Reuters
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag berpuas hati dengan aksi dipersembahkan pemainnya biarpun United sekadar terikat 1-1 pada aksi persahabatan pramusim berdepan Rayo Vallecano di Old Trafford pada Ahad.

Menurutnya, keputusan seri itu juga secara keseluruhannya menamatkan prestasi cemerlang United pada aksi pramusim menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu ini.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aksi-aksi persahabatan yang diadakan dan saya turut mengakui bahawa kami telah mengharungi aksi pra-musim dengan baik.

“Pemain juga menunjukkan peningkatan dari masa ke masa di sepanjang aksi pra-musim kali ini.

“Apa pun secara keseluruhannya, saya tahu masih ada banyak perkara yang perlu dipertingkatkan dan proses itu bakal berterusan di sepanjang musim nanti,” katanya.

Pada aksi pra-musim terakhir itu, pemain gantian United, Amad Diallo membuka jaringan pada minit ke-48 sebelum Alavaro Garcia Rivera menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-57.

Untuk rekod, aksi pra-musim terakhir skuad The Red Devils itu turut dihadiri ramai penyokong bagi melihat sendiri corak permainan yang diterapkan Ten Hag selain menyaksikan sendiri kemunculan semula, Cristiano Ronaldo yang diturunkan pada perlawanan berkenaan.

Mengulas mengenai aksi dipamerkan Ronaldo, Ten Hag berkata, masih banyak yang perlu dipertingkatkan oleh bintang Portugal berkenaan setelah agak lama ‘berehat’ selepas musim lalu berakhir.

“Dia (Ronaldo),perlu berusaha gigih bagi merebut semula tempatnya dalam pasukan ini dan banyak yang perlu dipertingkatkannya.

“Namun, saya yakin dia mampu melakukannya dan kembali beraksi sebagai salah seorang pemain yang penting bagi pasukan ini,” katanya.