Skuad bola keranjang kerusi roda ke separuh akhir

Skuad bola keranjang berkerusi roda 3x3 lelaki negara cemerlang apabila mengesahkan slot separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto Bernama
Skuad bola keranjang berkerusi roda 3x3 lelaki negara cemerlang apabila mengesahkan slot separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD bola keranjang berkerusi roda lelaki negara mempamerkan aksi cemerlang apabila mengesahkan slot ke separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini.

Selepas dikecewakan dengan kekalahan 9-19 kepada pasukan tuan rumah, England, pada aksi pembukaan pada Sabtu, pasukan negara bangkit bertenaga untuk membenam Afrika Selatan 13-6 di Smithfield pada Ahad.

Kemaraan ke separuh akhir itu menyaksikan skuad negara bakal berdepan Kanada pada 9 malam Isnin waktu tempatan atau 4 pagi Selasa di Malaysia.

Ahmad Nazri Hamdah beraksi cemerlang apabila menyumbangkan lima mata kepada pasukan negara, selain Freday Tan Yei Bing (4), Muhamad Atib Zakaria (3) dan satu mata oleh Muhammad Roozaimi Johari.

Ketua jurulatih negara, Lim Ming Lip berkata, kejayaan mara ke separuh akhir menaikkan semangat anak buahnya untuk mempamerkan aksi terbaik apabila bertemu Kanada.

"Ini kali pertama kami bertanding di Sukan Komanwel. Pemain sangat teruja dan akan cuba memberikan yang terbaik kerana jika menang di separuh akhir sudah menjanjikan pingat,” katanya. - Bernama