AUG 2022: Panahan emas skuad memanah tersasar

TRIO negara, Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil meraih pingat emas dalam acara recurve berpasukan wanita pada temasya AUG 2022
TRIO negara, Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil meraih pingat emas dalam acara recurve berpasukan wanita pada temasya AUG 2022
A
A
A

SKUAD memanah negara menamatkan saingan di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand dengan meraih empat pingat emas sekali gus gagal mencapai sasaran lima pingat emas yang disasarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Meskipun berjaya menghantar 10 wakil pada aksi yang berlangsung Stadium PAO itu, namun hanya empat emas sahaja berjaya mengenai sasaran.

Tiga daripada emas itu diraih menerusi acara recurve pada sebelah pagi dan satu menerusi compound pada aksi berlangsung sebelah petang.

Emas pertama dihadiahkan dalam acara recurve berpasukan wanita yang dibarisi Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Hanessha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil yang menumbangkan trio dari Thailand, Tundon Amornratanabongkod Tundon, Tapaneeya Silawong dan Natthakan Jantima menerusi keputusan 6-2.

Gandingan Ahmad Afiq-Syaqiera memastikan pingat emas kedua dalam acara recurve berpasukan dan Muhamad Zarif Syahiir ZolkepelI menumbangkan Prastyadi Alviyanto Bagas untuk emas recurve individu lelaki dengan keputusan 6-2.

Namun, trio berpasukan lelaki yang dianggotai Ahmad Afiq, Zarif dan Muhammad Farhan Hakim A Rhyme tumbang di tangan trio Thailand, Phontakorn Chaisilp dan Hahn Maximilian Soithong Aitthiwat menerusi keputusan 5-4.

Syaqiera juga terlepas satu lagi pingat emas apabila dikecewakan pemanah dari Indonesia, Octavia Rezza bagi acara recurve individu wanita menerusi keputusan 6-5.

Bagi aksi compound, pingat emas dihadiahkan trio dibarisi Iman Aisyah Norazam, Kayalvhily dan Nuraqilah Khairul mengetepikan wakil tuan rumah, Nichaphat Bunyapalin, Kodchaporn Pratumsuwan serta Kamonchanok Naengnoi 229-227 untuk pingat emas acara compound berpasukan wanita.

Namun, empat acara seterusnya menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati apabila tumbang di tangan lawan masing masing.

Skuad negara tumbang dalam acara recurve berpasukan lelaki, campuran, individu wanita dan lelaki.

Secara keseluruhan, skuad memanah negara menghadiahkan empat pingat emas, lima pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi recurve.