Ahli Parlimen Pengkalan Chepa diarah keluar dewan

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary diarahkan keluar dari Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary diarahkan keluar dari Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari Pas, Ahmad Marzuk Shaary diarah keluar dari persidangan Dewan Rakyat bagi tempoh dua hari selepas menggunakan perkataan 'pondan' terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon membuat keputusan itu mengikut Perkara 44 (2) Peraturan Mesyuarat setelah Ahmad Marzuk enggan menarik kembali perkataan itu walaupun diarah berbuat demikian.

Terdahulu, ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Pertama 2018, Ahmad Marzuk membangkitkan isu tender terbuka yang didakwa merupakan agenda menghapuskan masa depan kontraktor bumiputera.

Bagaimanapun, Guan Eng menafikan perkara itu dan menjelaskan sistem tender terbuka bagi membolehkan kontraktor terbaik dari kalangan bumiputera dipilih. "Itulah yang saya kesal, Pengkalan Chepa mainkan sentimen, ini tidak benar," katanya. Bagaimanapun, Guan Eng yang mahu meneruskan hujahannya diganggu Ahmad Marzuk yang bertegas ingin mengemukakan bukti mengenai perkara berkenaan.

Ahmad Marzuk yang tidak berpuas hati dengan tindakan Guan Eng yang tidak memberikan ruang kepadanya, kemudian melaungkan kata-kata: "Saya anak jantan, bukan pondan macam Bagan (Lim)" menyebabkan ahli Parlimen kerajaan meminta beliau menarik balik perkataan itu.

Ahmad Marzuk yang akur selepas diarah keluar dewan, disertai ahli Parlimen blok pembangkang yang lain sebagai tanda protes.

Ahmad Marzuk diarah keluar dewan dan turut disertai ahli Parlimen blok pembangkang yang lain sebagai tanda protes.-Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Ahmad Marzuk diarah keluar dewan dan turut disertai ahli Parlimen blok pembangkang yang lain sebagai tanda protes.-Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim

Rang undang-undang itu lulus di peringkat dasar hari ini dan akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa esok.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng ketika membentangkan rang undang-undang dan usul itu bagi bacaan kali kedua berkata perbekalan tambahan itu melibatkan RM15.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM4.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus. -Bernama