Rezeki naikkan ikan tongsan seberat 11kg

Amirul (kanan) menunjukkan ikan tongsan seberat 11 kilogram yang berjaya dinaikkannya ketika pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Chempaka Lanchang pada Ahad
Amirul (kanan) menunjukkan ikan tongsan seberat 11 kilogram yang berjaya dinaikkannya ketika pesta menangkap ikan di Estet Ikan Paya Chempaka Lanchang pada Ahad
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki dinobatkan juara pesta menangkap ikan selepas berjaya menaikkan ikan tongsan seberat 11 kilogram di Estet Ikan Paya Chempaka Lanchang di sini pada Ahad.

Pesta yang disertai 1,200 peserta tempatan dan luar negeri ini menawarkan 15 hadiah berupa barangan elektrik.

Amirul Kamrul, 26, berkata, dia bersyukur penyertaan julung kalinya membuahkan hasil.

"Saya tidak menyangka ikan sebesar itu terperangkap dalam jala saya dan dalam tempoh kira-kira tiga jam saya mampu meraih lebih 30 kilogram pelbagai spesies ikan," katanya yang membawa pulang hadiah berupa sebuah ketuhar.

Bagi seorang remaja, Mohd Jamil Mat Masri,17, berkata, ini adalah kali pertama dia menyertai pesta itu.

"Seronok dapat merasai kemeriahan pesta sebegini dan saya ingin menyertainya lagi selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, peserta, Asri Abu Nipah, 38, berkata, hasil tangkapan kali ini tidak banyak seperti pesta sebelumnya.

"Hasil tangkapan kali ini kurang sikit berbanding sebelum ini, namun tetap gembira kerana dapat menyertainya lagi," katanya tidak pernah ketinggalan menyertai pesta tersebut.

Pesta itu disertai 1,200 peserta tempatan dan luar negeri ini.
Pesta itu disertai 1,200 peserta tempatan dan luar negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, Estet Paya Chempaka seluas 15 hektar dihuni ikan spesies seperti lampam, kap rumput, jelawat, kerai, rohu, patin, temalian, haruan, keli afrika dan toman.

Menurutnya, pesta yang diadakan dua tahu sekali itu membenarkan peserta menggunakan jala, sauk dan serkup sebagai peralatan untuk menangkap ikan.

"Secara keseluruhan pesta ini mendapat sambutan menggalakkan, rekod tertinggi penyertaan sebelum ini ialah 1,500 peserta," katanya.

Kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri estet ikan terbabit sempena pesta menangkap ikan yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.