Apandi dipanggil rakam keterangan berkaitan kes 1MDB

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan dipanggil pada Isnin untuk dirakam keterangan berkaitan kes melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

"PDRM akan merekod keterangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 1 Ogos 2022 (Isnin) jam 2.30 petang.

"Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan," katanya dalan kenyataan pada Ahad.

PDRM pada Jumaat mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Apandi.

Noorsiah berkata, Ahli Parlimen Klang tersebut telah membuat laporan pada 27 Julai lalu susulan tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan kes 1MDB.

Media tempatan pada hari sama melaporkan, Charles Santiago telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Rabu untuk dirakam percakapan berhubung laporan yang dibuatnya itu.