Penubuhan Puteri BN kukuhkan kesiapsiagaan hadapi PRU15

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penubuhan Puteri Barisan Nasional (BN) yang telah diluluskan pada Ahad merupakan satu pengukuhan penting terhadap kesiapsiagaan parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan itu yang akan diabsahkan di mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Ogos nanti juga bakal menyaksikan calon baharu dari kalangan Puteri BN diketengahkan di PRU15 nanti.

"Realiti yang ada di hadapan kita jika mahu menang, muka-muka baharu mesti diketengahkan lebih ramai lagi, ini terbukti di PRN Melaka apabila 87 peratus muka baharu dan hasilnya kita menang lebih tiga per empat majoriti.

"Acuan yang kita lihat di PRN Johor dan Melaka itu merupakan acuan yang terbaik dan kita akan lakukan lebih baik daripada itu, kita utamakan "muka-muka segar” sebab tu kita faham bahawa berlaku tsunami politik dalam PRU14," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Puteri BN di sini pada Ahad.

Menurutnya, kesiapsiagaan Puteri BN yang menggabungkan sayap belia wanita dalam komponennya seperti Puteri MIC dan Beliawanis (MCA) adalah di tahap yang optimal sekali gus menunjukkan keseriusan jentera BN dalam mendepani cabaran pilihan raya akan datang.

"Saya lihat dalam kalangan parti-parti komponen BN, keseluruhan usaha untuk memantapkan BN lebih jelas dan tentunya kita harus mengikis perbedaan-perbedaan yang ada di PRU sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti Zahid berkata, perkara itu adalah manifestasi persetujuan semua parti politik untuk memastikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat terhadap pemimpin terus terbela.

"RUU lompat parti itu ialah manifestasi bahawa semua parti politik bersetuju bahawa ia satu usaha untuk mengelakkan amanah rakyat itu 'terburai' apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti," katanya.

Sebelum ini, Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, golongan wanita harus diberikan peluang yang setara untuk diketengahkan sebagai calon pada PRU15 yang akan datang.

Katanya, kepelbagaian barisan wanita dalam BN dapat memperkukuhkan agenda pemerkasaaan wanita dan kesaksamaan gender.

"Merayu undi- wanita, membanci gred pengundi - wanita. Bersekang mata menghadap komputer - wanita muda, menguruskan data pengundi - wanita muda. Dimaki hamun ketika mengendalikan pusat panggilan - wanita muda. Namun kalau pilih calon, kamilah yang paling bawah," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Puteri BN yang julung kali diadakan di sini hari ini.

Menurutnya, dahulu pencapaian tertinggi wanita dalam UMNO hanyalah sekadar memegang jawatan ketua wanita namun, kini telah ada lima bahagian yang diketuai oleh wanita antaranya Bahagian Pengerang, Johor, Pendang dan Sungai Petani (Kedah), Maran (Pahang) dan Beluran di Sabah.

Menurut beliau perkara itu merupakan satu bukti bahawa proses pemerkasaan wanita bermula dari institusi Pergerakan Puteri UMNO itu sendiri. - Bernama