Fun Walk Sinar Harian 16 erat silaturahim warga kota: Yadim

Orang ramai turut menyertai acara zumba di dataran DBKL. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR (Gambar kecil: Tuan Kamarul Arief)
Orang ramai turut menyertai acara zumba di dataran DBKL. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR (Gambar kecil: Tuan Kamarul Arief)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyifatkan Fun Walk Sinar Harian 16 merupakan satu acara yang dapat mengeratkan lagi hubungan silatulrahim antara warga kota di samping memupuk gaya hidup lebih sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya turut menyambut baik program tersebut setelah hampir dua tahun masyarakat tidak dapat melakukan aktiviti fizikal.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menjemput Yadim untuk sama-sama menyertai acara Fun Walk hari ni, memandangkan surah lama acara seumpama ini tidak dianjurkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi ini merupakan satu program yang sangat baik dari segi mengumpulkan kembali masyarakat selepas sekian lama tidak berjumpa.

“Bagi kami di Yadim juga, ia merupakan satu cabang dakwah di mana kita dapat mengeratkan silaturahim sesama kita, di samping melakukan aktiviti kesihatan bersama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Acara Fun Walk Sinar Harian 16 menyaksikan lebih 3,000 peserta menyertai program tersebut sempena ulang tahun penubuhan Sinar Harian pada 31 Julai.

Program berjalan secara santai sejauh lima kilometer itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Turut hadir Pengerusi Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas mengenai 16 tahun penubuhan Sinar Harian, Tuan Kamarul Arief menzahirkan ucapan tahniah kerana berjaya mengekalkan sebuah syarikat akhbar yang berprestij dan berpengaruh di Malaysia.

Tambah beliau, Sinar Harian juga telahpun meletakkan jenamanya kepada satu tahap yang tersendiri.

“Bila orang mencari sumber laporan berita yang adil, telus serta tidak berpihak kepada sesiapa, mereka tentunya akan memilih Sinar Harian.

“Justeru, sepanjang 16 tahun, Sinar Harian berjaya meletakkan diri kepada kualiti yang berbeza dan ini satu perkara yang sangat menakjubkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan agar Sinar Harian terus kekal sebagai wadah bicara masyarakat yang sentiasa berpegang dengan prinsip tidak berpihak, adil dan saksama.