AUG 2022: Skuad renang gagal capai sasaran

Perenang negara, Sebastion Soon muncul atlet renang paling menyerlah dengan tiga pingat emas dalan acara 400m individu medley, 1500m gaya bebas individu lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki.
Perenang negara, Sebastion Soon muncul atlet renang paling menyerlah dengan tiga pingat emas dalan acara 400m individu medley, 1500m gaya bebas individu lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki.
A
A
A

PASUKAN renang negara gagal mencapai sasaran iaitu lapan emas yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila menutup tirai saingan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dengan membawa pulang enam emas, 11 perak dan 10 gangsa.

Bagaimanapun di sebalik kegagalan itu, skuad renang berjaya mencipta kejutan apabila menjadi atlet Malaysia tunggal setakat ini berjaya memecahkan rekod kejohanan menerusi kuartet 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki terdiri daripada Welson Sim, Sebastian Soon, Low Zheng Yong dan Terence Ng Shin Jie menerusi catatan 7 minit 32:34 saat.

Bagi Pengurus pasukan renang Malaysia, Tan Seng Seng berkata, beliau memuji komitmen dan aksi mantap atlet renang walaupun kebanyakannya kali pertama beraksi di temasya dwi tahunan itu.

“Kita sebenarnya boleh mencapai sasaran yang ditetapkan cuma tidak bernasib baik pada saingan 4x100 m dan 200 m gaya bebas termasuklah penyertaan membabitkan acara 50 m kuak dada.

“Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan prestasi mereka walaupun kali pertama menyertai kejohanan ini namun tetap membawa pulang pingat.

“Jika diikutkan, atlet renang negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila 15 daripada 17 perenang membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat di kejohanan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Seng Seng berkata, perenang negara Sebastian Soon paling menyerlah di kolam renang apabila membawa pulang tiga emas membabitkan acara individu dan berpasukan.

“Pasukan renang negara akan berusaha lebih keras lagi bagi memastikan penyertaan pada edisi akan datang mampu mencapai sasaran ditetapkan KPT,”katanya.

Untuk rekod, emas negara diperoleh menerusi acara 400 m gaya bebas lelaki, 1,500 m gaya bebas lelaki, 400 m individu lelaki, kuartet 4x200 m gaya bebas lelaki, 100 m gaya bebas lelaki dan 400 meter kuak lentang lelaki.

Pada edisi 2018 menyaksikan kem renang negara membawa pulang lapan emas, tujuh perak dan 11 gangsa.