Wanita maut dibaham buaya

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang dibaham buaya di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, Kinabatangan.
Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang dibaham buaya di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya di sini pada Sabtu.

Mayat, Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 6.53 pagi Ahad oleh penduduk kampung iaitu kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian mangsa diserang haiwan reptilia itu.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.42 petang Sabtu.

Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 12 kilometer dari BBP Kota Kinabatangan.

"Menurut laporan, seorang wanita bersama empat lagi ahli keluarganya dikatakan baru selesai memancing dan sedang mencuci kaki di tepi sungai sebelum diserang buaya berkenaan.

"Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan usaha mencari dilakukan segera sebaik pasukan bomba tiba di lokasi sebelum ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Nurul Azlan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa kemudian disambung semula pada pagi Ahad, namun mangsa ditemui oleh penduduk kampung di lokasi terbabit.

"Penduduk kampung menemui mangsa dalam keadaan terapung di sungai berkenaan dan usaha mengambil mayat mangsa dilakukan dengan bantuan pihak bomba.

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di mana kedua-dua bahagian tangan dan kaki sudah tiada dipercayai dibaham buaya.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya yang turut memaklumkan operasi ditamatkan pada jam 8 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!