Serpihan roket milik China lintas ruang udara Malaysia

Serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi. - Foto Twitter
Serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi. - Foto Twitter
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan serpihan roket Long March 5B milik negara China melintasi ruang udara Malaysia yang dapat dikesan di beberapa kawasan sekitar Sarawak.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, MYSA memaklumkan kemasukan semula serpihan roket itu ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada jam 12.55 pagi tadi waktu Malaysia.

“Serpihan roket berkenaan telah terbakar memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan turut melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi ruang udara sekitar Sarawak.

“Sisa serpihan itu telah direkodkan jatuh sekitar Laut Sulu pada kedudukan latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur,” menurut kenyataan itu.

Pada Rabu lalu, sebuah pertubuhan angkasa dibiayai Amerika Syarikat (AS), Aerospace Corp dilapor menjangkakan serpihan roket angkasa lepas China bakal terhempas ke bumi dengan dijangka menimpa beberapa kawasan yang luas di seluruh dunia.

Serpihan itu adalah sebahagian daripada roket Long March 5B China yang dilancarkan pada 24 Julai lalu dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Wenchang, selatan China.

Dalam pada itu, Markas Pemerintahan Angkasa Amerika Syarikat (USSPACECOM) juga mengesahkan serpihan penggalak roket itu juga telah terhempas di Lautan Hindi pada tengah malam tadi.

Tular di media sosial perkongsian warga maya mengenai rakaman video dipercayai serpihan roket berkenaan yang berlaku di Kuching, Sarawak awal pagi tadi dan video tersebut mencecah dua juta tontonan.