SRAM & MRAM Group pemilik baharu Respect FC

Respect FC mewarnai saingan Liga M3 2022. FOTO: RFC
Respect FC mewarnai saingan Liga M3 2022. FOTO: RFC
A
A
A
RESPECT FC mengumumkan SRAM & MRAM Group sebagai pemilik baharu kelab berkenaan bagi mengharungi kancah Liga M3 musim depan.

Penaung Respect FC, Datuk Seri Dr SK Devamany berkata, syarikat itu menggantikan pengurusan terdahulu yang gagal melunaskan beberapa masalah membabitkan urusan kewangan pasukan.

"Pemilik baharu ini merupakan sebuah syarikat yang berdaya saing dan dilihat mampu memberi sumbangan yang cukup besar bukan sahaja di peringkat nasional tetapi antarabangsa.

"Paling menarik, pihak pengurusan juga telah bersetuju untuk berkongsi saham syarikat dengan para pemain. Bagi saya ini sesuatu yang baru dalam kancah bola sepak negara," katanya pada sidang media di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.

SRAM & MRAM Group yang ditubuhkan pada 1995, merupakan sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur serta menjalankan aktiviti perniagaan berasaskan produk agro, teknologi maklumat serta perkhidmatan hospitaliti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Respect FC, R Surendran berkata, pemilik baharu kelab itu memberi jaminan bahawa tunggakan gaji beberapa bekas pemain berjumlah lebih RM300,000 akan dilunaskan dalam masa terdekat.

"Respect FC terpaksa melepaskan pemain ke pasukan lain semasa jendela perpindahan kedua Mei lalu untuk mengelak menanggung bebanan hutang," katanya dan menambah isu tunggakan itu telah berlarutan sejak enam bulan lepas.

Mengulas perancangan pengurusan baharu Respect FC, beliau berkata, pihaknya belum menetapkan sebarang sasaran untuk musim depan, namun fokus utama adalah untuk memperkuat pasukan dengan penambahan pemain berkualiti dan berpengalaman.

"Dengan suntikan dana daripada penaja baru ini juga diharap pasukan akan dapat meningkatkan prestasi dan mencatatkan keputusan yang lebih memberangsangkan untuk kempen liga musim depan," katanya. - Bernama