AUG 2022: Thailand ujian sebenar karakter Malaysia

Malaysia memulakan kempen langkah kanan apabila menewaskan Myanmar 2-1 sebelum ini.
Malaysia memulakan kempen langkah kanan apabila menewaskan Myanmar 2-1 sebelum ini.
A
A
A

TUGAS berat menanti Malaysia apabila berdepan juara bertahan Thailand pada perlawanan kedua bola sepak Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat pada Ahad.

Malah pengendali skuad negara, Ridzuan Abu Shah tidak meletak harapan tinggi dalam perlawanan itu, namun tetap menyasarkan meraih satu mata bagi mencerahkan peluang ke perlawanan akhir.

“Kami sedar Thailand sukar disaingi memandangkan pasukan tersebut juara bertahan. Mereka juga memiliki kelebihan apabila bermain di laman sendiri.

“Biarpun begitu, saya tidak menolak kemungkinan pemain Malaysia mampu melakar kejutan. Kalau menang, saya anggap bonus kerana kami tahu kekuatan Thailand.

“Jadi, bagi memastikan pasukan dapat memberikan saingan terbaik, kami akan memanfaatkan tempoh masa yang ada untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan, selain mengkaji kelemahan lawan,” katanya.

Anak buah Ridzuan kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan, mengutip tiga mata di belakang Thailand yang hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Myanmar 2-1 pada Rabu yang menyaksikan juara dan naib juara kumpulan akan berentap di pentas final untuk merebut pingat emas.

Pada masa sama, Ridzuan memberi bayangan akan melakukan rombakan terhadap kesebelasan utamanya.

“Saya sudah pun memiliki bayangan kesebelasan utama, namun saya perlu melihat sama ada pemain itu cukup cergas untuk diturunkan.

“Ini kerana terdapat pemain yang mengalami kecederaan ringan ketika beraksi dalam perlawanan sebelum ini. Jadi saya harap mereka yang akan diturunkan mampu untuk beri aksi terbaik pada perlawanan tersebut,” ujarnya.