GERAMM gesa Khairy percepat usaha legalisasi kanabis

Saufi Mi'ad
Saufi Mi'ad
A
A
A

SEREMBAN - Gerakan Anak Muda (GERAMM) Negeri Sembilan menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambil langkah yang lebih proaktif dalam usaha mempercepatkan legalisasi tumbuhan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan.

Kordinator GERAMM Negeri Sembilan, Saufi Mi'ad berkata, ini kerana perkara itu sudah lama dibincangkan sejak era pentadbiran Menteri Kesihatan ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan lagi.

"Kita difahamkan usaha itu sudah berada di peringkat akhir dan hanya menunggu lampu hijau daripada Menteri Kesihatan.

"Pada November tahun lalu, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar, Khairy telah mengumumkan bahawa permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftar sekiranya ada bukti saintifik yang mencukupi, namun tidak diketahui kesinambungan dari itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, GERAMM berpendapat sudah tiba waktunya penggunaan hem untuk tujuan perubatan diluluskan dan seterusnya membuka era baharu alternatif perubatan dalam negara.

Tambahnya, jangan hanya kerana stigma tumbuhan herba itu yang dikaitkan dengan ketagihan, maka etika perubatan sukar mendapat kelulusan sedangkan pada hakikatnya bukan semua bahagian pokok hem (antara tumbuhan kanabis) boleh menyebabkan ketagihan.

"Sikap tabu terhadap tumbuhan kanabis ini wajar diperbetulkan agar pemikiran masyarakat akan lebih terbuka.

"Apakah negara ini masih kekurangan pakar untuk mengkaji sejauh mana keberkesanan hem untuk perubatan sedangkan penggunaan kanabis perubatan dengan dos terkawal dan dipreskripsi telah dibenarkan oleh lebih 30 negara termasuklah Thailand, Argentina, Australia, Kanada, Itali, Jerman, Turkiye dan Denmark," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Malaysia tidak seharusnya dibiarkan untuk terus ketinggalan dalam aspek alternatif perubatan yang berpotensi ini.

Sehubungan itu katanya, GERAMM menggesa kerajaan melalui Menteri Kesihatan mengambil sikap lebih serius dalam soal kelulusan hem bagi tujuan perubatan.

"GERAMM juga meletakkan harapan tinggi agar kanabis dapat ditanam di negara ini dalam kerangka perundangan jelas dan ketat demi membantu bukan sahaja dalam sektor perubatan tetapi juga ekonomi," katanya.