AUG 2022: Kem badminton lepasi sasaran pingat emas

Faiz Rozain mara ke perlawanan akhir esok dalam acara perseorangan lelaki.
Faiz Rozain mara ke perlawanan akhir esok dalam acara perseorangan lelaki.
A
A
A

SKUAD badminton negara meneruskan rentak cemerlang di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) apabila mengesahkan tempat di perlawanan akhir membabitkan empat daripada lima kategori individu yang dipertandingkan di Dewan Badminton Universiti Ubin Ratchathani pada Sabtu.

Lebih manis, satu emas sudah pun berada dalam genggaman Malaysia menerusi acara beregu wanita selepas kedua-dua wakil negara tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Beregu wanita negara, Teoh Lexuan-Yap Rui Chen menumpaskan lawan dari Indonesia, Nahla Aufa Dhia Ulhaq-Elizabeth Jovita 21-6, 21-12.

Rentak cemerlang Lexuan-Rui Chen turut dilakar pasangan Desiree Siow-Ng Qi Xuan yang menundukkan wakil tuan rumah, Sasikarn Piyawatcharavijit-Pornnicha Suwatnodom 21-13, 19-21, 21-15 dalam tempoh 48 minit.

Dalam acara perseorangan lelaki, wakil Malaysia, Faiz Rozain turut cemerlang pada perlawanan separuh akhir apabila mengalahkan wakil dari Indonesia, Muhammad Febriansyah, 21-5, sebelum lawannya itu menarik diri pada set kedua akibat kecederaan.

Selain itu, wakil negara yang akan turut beraksi di pentas final bagi penentuan emas esok adalah pasangan lelaki negara, Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin dan beregu campuran, Kok Xian Tan-Desiree Siow.

Ketua jurulatih badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, kejayaan wakil negara melangkah ke perlawanan akhir termasuk mengesahkan satu emas esok (Ahad), merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan memandangkan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kita sememangnya menyasarkan lebih banyak pingat dapat diperoleh pada pertarungan final esok.

“Sudah semestinya barisan pemain berada pada keadaan optimum untuk memastikan kejayaan berpihak kepada Malaysia sekali gus mencapai sasaran tiga emas,” katanya.

Untuk rekod, kem badminton negara beraksi cemerlang pada acara berpasukan apabila meraih dua emas untuk kategori lelaki dan wanita pada Khamis.