Ditahan gara-gara guna picagari sama suntik 30 pelajar

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

NEW DELHI - Seorang pelajar kejururawatan ditahan pihak berkuasa selepas didapati menggunakan satu picagari yang sama untuk menyuntik vaksin Covid-19 kepada lebih 30 pelajar sekolah menengah di India, lapor Agensi Anadolu.

Menurut polis pelajar itu, Jitendra Ahirwar, yang dilatih untuk menjalankan program vaksinasi oleh jabatan kesihatan tempatan, ditahan awal minggu ini selepas didapati melakukan kesalahan itu di daerah Sagar, di Madhya Pradesh.

"Kami telah menahan lelaki itu.

Dia telah menyuntik vaksin dengan menggunakan hanya satu picagari.

"Pelajar yang menerima vaksin itu selamat," kata pegawai polis daerah, Tarun Nayak.

Pegawai itu berkata kejadian berlaku pada Rabu semasa program vaksinasi mega sedang dijalankan di sebuah sekolah menengah.

Ahirwar, dalam video yang tular di media sosial, berkata dia tidak boleh dipersalahkan dan hanya diberikan satu picagari untuk melakukan vaksinasi.

Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan daerah Sagar Dr Devendra Goswami berkata pegawai vaksinasi daerah itu juga telah digantung tugas dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Bernama